Friday, 31 March 2017

Cara Mudah Untuk Mencegah Jerawat di Muka

cara mencegah jerawat
Bagi mereka yang menghidapi masalah jerawat, pastinya tertanya-tanya bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah jerawat. Masalah jerawat bukan sahaja dialami oleh para remaja, bahkan orang dewasa sehingga ke warga emas juga tidak lepas daripada penyakit kulit ini. Jerawat juga telah mengurangkan keyakinan diri orang yang menghidapinya. Bahkan, sampai ada yang malu untuk keluar rumah semata-mata kerana jerawat.

Kepada mereka yang menghadapi masalah jerawat, usah bimbang. Tingkatkan dan kekalkan keyakinan diri anda. Jangan jadikan jerawat menjadi punca anda untuk berputus asa dan lemah semangat. Setiap orang ada kekurangan dan kelebihan diri masing-masing.

Walaubagaimanapun, masalah jerawat masih boleh diatasi dengan mudah. Cara-cara mencegah jerawat yang akan dibaca oleh anda sebentar sahaja lagi sebenarnya cara umum untuk mengatasi masalah ini. Jika anda sudah baca artikel sebelum ini, anda sepatutnya sudah boleh tahu bagaimanakah cara untuk mencegah pembentukan jerawat di wajah. Namun, mungkin ada yang masih kurang jelas tentang cara yang betul untuk mencegah jerawat.

Untuk mencegah jerawat di muka, anda kenalah rajin dan berdisiplin untuk melakukan perkara-perkara yang berikut...

1. Rajinkan Diri Mencuci Muka Sekurang-kurangnya 2 Kali Sehari.

Anda hendaklah merajinkan dan mendisiplinkan diri untuk mencuci muka sebanyak dua kali sehari. Ini kerana jerawat terbentuk akibat kelenjar minyak yang menghasilkan minyak atau sebum berlebihan yang akan bercampur dengan sel kulit mati dan kemudian akan membentuk jerawat.

Bagi mereka yang belum faham, minyak pada kulit sahaja tidak dapat membentuk jerawat. Namun minyak di kulit atau sebum boleh menjadi punca jerawat jika ia tersumbat di dalam kulit apabila ia bercampur dengan sel-sel kulit mati. Sel-sel kulit mati menghalang sebum daripada keluar dan menyebabkan kantungan sebum yang menjadi tempat untuk bakteria yang dinamakan p. acne lalu menyebabkan jerawat.

2. Jangan Terlalu Kerap Mencuci Muka.

Mencuci muka terlalu kerap tidak menghilangkan atau mencegah pembentukan jerawat sebaliknya ia lebih mendorong jerawat untuk tumbuh. Hal ini kerana terlalu kerap mencuci muka akan menyebabkan kulit kering dan mati. Sel kulit yang mati akan bercampur dengan kelenjar minyak dan menyumbat pori-pori muka dan menyebabkan jerawat. Oleh itu, jangan terlalu kerap mencuci muka. Sebaiknya, sebanyak dua kali sehari sahaja.

3. Gunakan Pencuci Muka Yang Betul.

Anda kenalah berhati-hati dan bijak menggunakan pencuci muka. Terdapat pencuci muka yang kononnya boleh menghilangkan jerawat tetapi tidak pada semua jenis kulit. Mungkin ia sesuai untuk kulit muka orang lain namun belum tentu ia sesuai untuk kulit muka anda. Jika pencuci muka yang anda gunakan disedari menyebabkan jerawat semakin merebak, segeralah berhenti daripadanya. Sebaiknya, untuk mencegah jerawat, pencuci muka yang baik adalah pencuci muka yang berkesan untuk menghilangkan minyak.

4. Jangan Menggaru atau Memicit Jerawat.

Menggaru jerawat akan menyebabkan bakteria punca jerawat merebak di bahagian lain di muka atau badan. Begitu juga dengan memicit jerawat. Anda hendaklah menahan diri daripada menggaru jerawat untuk mencegahnya daripada merebak. Sekiranya anda dipaksa oleh orang lain untuk memicit jerawatnya, pastikan anda mencuci tangan anda menggunakan sabun dengan bersih. Pastikan bahagian kuku dicuci dengan baik kerana kukulah tempat utama bakteria jerawat akan ada kerana ia sering digunakan untuk menggaru dan memicit jerawat.

5. Kurangkan Memakan Makanan Yang Mengandungi Minyak Yang Tinggi.

Makanan yang berminyak akan menambah jumlah sebum. Seperti yang diketahui, penghasilan sebum yang berlebihan oleh kelenjar minyak menyebabkan pertumbuhan jerawat. Oleh itu, anda kenalah mengurangkan memakan makanan yang mengandungi minyak. Ini juga termasuk keropok dan kuih-muih yang dimasak menggunakan minyak selain makanan yang bergoreng untuk mencegah jerawat.

6. Hindari Stress Untuk Mencegah Jerawat.


Stress akan menyebabkan seseorang lebih cenderung untuk memakan pelbagai jenis makanan sebagai alasan penghilang stress termasuklah makanan yang berminyak. Untuk menghindari atau menghilangkan stress, anda boleh menggunakan pelbagai teknik seperti teknik pernafasan, bermeditasi, yoga dan lain-lain. Untuk mencegah jerawat di muka dan badan, anda hendaklah juga mencegah stress.

7. Tidur dan Makan Secukupnya.

Jika seseorang itu tidak cukup tidur, dia akan lebih mudah untuk berasa tertekan, marah dan stress. Tekanan akan bertambah sekiranya berasa lapar. Oleh itu, pastikan anda mendapat tidur yang cukup iaitu sekurang-kurangnya lapan jam dan makan secukupnya di samping mengurangkan pengambilan makanan yang berminyak. Cara ini rasanya cara paling senang untuk mencegah jerawat.

8. Menggunakan Ubat Jerawat Yang Betul.

Jika anda rasa ada tanda-tanda jerawat akan tumbuh di muka anda, gunakan ubat jerawat yang betul untuk mencegah jerawat itu daripada merebak. Ubat jerawat yang anda gunakan juga mestilah bersesuaian. Ada sesetengah ubat jerawat yang mungkin boleh menghilangkan jerawat tetapi dalam masa yang sama menjadikan kulit kering. Sel kulit yang kering atau mati adalah antara punca utama jerawat. Satu lagi, hindari daripada menggaru atau memicit jerawat pra-matang.

9. Menggunakan Pelembab Dapat Mencegah Jerawat .


Seperti yang dinyatakan, sel kulit kering atau mati adalah antara punca utama jerawat. Menggunakan alat pelembab dapat mencegah kulit muka anda daripada terus kering dan mencegah pembentukan jerawat. Pastikan pelembab yang digunakan adalah daripada jenama yang dipercayai.

10. Jauhi Penggunaan Bahan Kosmetik Yang Menyebabkan Jerawat.

Terdapat banyak bahan dan alat kosmetik yang kononnya dapat memutihkan kulit tetapi juga dapat mendorong pembentukan jerawat. Bahan kosmetik ini biasanya menggunakan bahan seperti bedak dan minyak yang terlalu tinggi atau tidak terkawal. Jika anda ada mengesyaki anda memilki dan menggunakan bahan kosmetik yang memberi kesan jerawat, segeralah berhenti daripada menggunakannya.

11. Bersenam.

Bersenam dapat mengeluarkan peluh. Berpeluh dapat mengeluarkan kotoran yang ada di dalam tubuh. Bersenam dipercayai dapat mencegah jerawat kerana apabila seseorang itu berpeluh, pori-pori kulit akan lebih terbuka untuk mengeluarkan peluh dan kotoran dan dalam masa yang sama mengurangkan kotoran yang tersumbat di dalam pori-pori kulit. Bersenamlah walaupun hanya lima minit sehari. Ya, lima minit sehari sahaja. Anda akan ada lebih masa, lebih bersemangat dan terbiasa sehingga ia menjadi rutin utama anda setiap hari. Lagipun, bukankah kita lebih suka senaman lima minit daripada 30 minit?

12. Air Suam dan Air Sejuk Petua Untuk Cegah Jerawat.

Air suam juga dapat membuatkan pori-pori kulit lebih terbuka. Amalkan mandi air suam untuk membuka pori-pori kulit kemudian bilas badan menggunakan air sejuk untuk menutup pori-pori kulit. Boleh juga menggunakan air suam dan sejuk untuk membasuh muka. Cara ini mungkin tidak dapat menghilangkan jerawat, tetapi ia dapat mencegah jerawat daripada tumbuh di muka atau badan.

Cukup 12 cara untuk mencegah pembentukan jerawat di muka. Cara-cara yang ditaip di sini rasanya mudah untuk anda amalkan setiap hari. Ingat, mencegah itu lebih baik daripada merawat.

No comments:

Post a Comment